Sea Turtles in Resort World Kijal


300 sarang penyu agar ditemui tahun ini

01

CAHAYA lampu suluh menarik perhatian anak-anak penyu berusia tujuh hari itu untuk keluar dari bekas-bekas plastik yang diletakkan di atas pasir. Anak-anak penyu itu menguak dinding baldi kecil itu hingga ada yang mampu melepaskan diri.

Akibatnya, sekumpulan manusia yang berada di tepi pantai itu bersorak penuh keterujaan menyaksikan gelagat anak-anak penyu berwarna kehitaman itu. Mereka menjadi tidak sabar untuk memegang dan melepaskan anak-anak penyu itu ke lautan luas.

Sebaik sahaja diberikan bekas-bekas itu, mereka segera mengabdikan kenangan bersama anak-anak penyu tersebut. Begitupun, mereka tidak boleh menggunakan flash kamera dan hanya bergantung kepada cahaya lampu suluh untuk mengambil gambar. Anak penyu akan buta apabila terkena flash, sekali gus menyumbang kepada kematiannya.

Keadaan kembali riuh apabila anak-anak penyu itu dilepaskan dan merangkak ke arah laut. Ombak yang kuat adakalanya menolak semula anak-anak penyu ke daratan, namun pengunjung segera menghalakan haiwan itu ke laut. Cahaya lampu suluh turut membuatkan anak-anak penyu berpatah balik ke daratan.

Ia membuatkan pengunjung resah kerana bimbang terpijak anak-anak penyu tersebut. Setelah semua anak penyu hilang ditelan laut, barulah mereka meninggalkan kawasan pantai.

Tarikan

“Saya rasa sangat gembira dapat menyaksikan dan melepaskan anak-anak penyu ini ke laut. Sebelum ini, saya hanya menyaksikan orang ramai melepaskan haiwan ini di kaca televisyen.

“Peluang kali pertama memegang anak penyu ini pasti menjadi kenangan berharga saya ketika berkunjung ke Resorts World Kijal, Kemaman, Terengganu ini,” kata Sameer Yasin yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor.

Begitupun, pelajar Sekolah Kebangsaan Tropicana, Petaling Jaya berusia 12 tahun itu berasa sedih apabila mendapat tahu daripada 1,000 ekor yang dilepaskan ke laut, satu atau dua ekor sahaja berjaya kembali ke pantai tersebut untuk bertelur.

Setelah dilepaskan anak-anak penyu itu berdepan pelbagai cabaran di laut sama ada menjadi makanan kepada haiwan pemangsa seperti ketam atau tewas di jaring-jaring pukat. Di pantai Kijal, ia menjadi lokasi kepada penyu agar untuk naik bertelur bermula pada April hingga September. Keadaan pantai yang masih semula jadi menjadi tarikan kepada penyu tersebut.

Pada tahun ini, bilangan sarang yang ditemui berjumlah kira-kira 300. Setiap ekor penyu dewasa bertelur antara empat hingga lapan kali semusim. Seekor penyu agar bertelur sebanyak 80 hingga 120 biji pada satu-satu masa. Ia biasanya naik ketika air pasang berpandukan cahaya bulan dan proses tersebut mengambil masa selama tiga jam termasuk sejam untuk bertelur.

Menurut Roslan Mohamad, 48, yang menjalankan program konservasi penyu di pantai Kijal, misinya adalah untuk memastikan penyu terus mendarat dan bertelur di pantai tersebut.

“Saya mendapat hak daripada Jabatan Perikanan untuk mengutip telur penyu sepanjang 10 kilometer di pantai ini dari 7 petang hingga 7 pagi.

Sunyi

02

“Saya akan memastikan tiada sebarang aktiviti di tepi pantai ini kerana haiwan ini suka kepada suasana yang sunyi ketika ingin bertelur. Kehadiran pemancing pada waktu malam boleh menyebabkan penyu tidak naik bertelur.

“Telur yang dikutip akan dibawa ke pusat konservasi dan pengeraman untuk aktiviti penetasan. Jika usaha seperti ini tidak dijalankan, telur-telur ini mungkin dimakan biawak atau diambil orang,” katanya yang terbabit dalam bidang tersebut sejak 20 tahun lalu.

Proses penetasan telur mengambil masa 45 hingga 60 hari. Anak-anak penyu ini akan kembali mendarat apabila dewasa yang beratnya boleh mencecah 120 kilogram.

Terengganu terutamanya Rantau Panjang terkenal dengan penyu belimbing. Begitupun, ekoran kerancakan pembangunan ekonomi termasuk aktiviti perikanan menyebabkan bilangan penyu mendarat di pantai itu semakin berkurangan.

Ekoran itu, Roslan dengan kerjasama Resorts World Kijal menjalankan usaha konservasi penyu sejak tahun lepas. Menerusi kerjasama tersebut, pihak hotel menawarkan pakej melihat penyu bertelur dan melepaskan anak penyu.

Sambutan baik

Usaha itu mendapat sambutan baik dan membuka mata pengunjung terhadap haiwan tersebut yang kian terancam habibatnya, sekali gus menghargai haiwan tersebut. Menerusi tagline, Mesti Tengok, ia menjadi satu pendidikan berguna kepada semua orang.

Pengurus Fun & Adventure Resorts World Kijal, K. Ragunathan memberitahu, program itu juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat hotel lima bintang tersebut.

“Penyu semakin terancam ekoran tindakan orang ramai dan biawak memakan telurnya serta mati akibat pukat. Ia menyebabkan penetasan telur berkurangan. Apabila kami melancarkan program ini, sambutan dan maklum balas pengunjung sangat baik.

“Bagi mereka yang ingin melihat penyu bertelur, bulan Mei dan Julai merupakan masa terbaik. Ketika ini, sebanyak dua ke tiga ekor penyu akan mendarat setiap malam. Pengalaman menyaksikan penyu menggali pasir dan ketika bertelur membuatkan para pengunjung teruja,” ujarnya kepada rombongan media yang mengikuti program tersebut baru-baru ini.

Beliau berkata, pakej itu unik dan amat menarik kerana ia satu-satunya hotel yang menawarkan program seumpama itu di negara ini sehingga menarik kehadiran pengunjung dari Lembah Klang dan Singapura.

Sekiranya tiada penyu bertelur di kawasan tersebut, pengunjung masih boleh mengikuti program konservasi penyu atau melepaskan anak-anak penyu ke laut.

Sources by: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm, Kosmo

Facebook comments:

FIND OUT MORE :


MUST-SEE PICTURES/VIDEOS

FOLLOW US