Pelagak ngeri tunjuk aksi - Magis Akrobatik


Persembahan akrobatik pikat pelancong saksi pelbagai formasi menarik bertaraf dunia

BHCOVER

Oleh Halina Mohd Noor 

Jantung berdebar-debar ketika tujuh pelagak ngeri dari Amerika Latin cuba membentuk piramid dengan memijak galah digalas rakan mereka sambil meniti kabel sepanjang lebih 12 meter yang direntang pada ketinggian kira-kira 20 meter.

Empat orang dengan setiap dua daripadanya menggalas galah sebagai asas di bahagian bawah, dua lagi di atas dan seorang di puncak.

Bergerak perlahan dan sekata dengan suara, berlatar belakangkan imej bukit bukau menghijau, kereta kabel dan irama mendebarkan, mereka akhirnya berjaya tiba ke penghujung pelantar dengan penuh bergaya.

Persembahan hebat dan mencabar itu mendapat tepukan gemuruh penonton persembahan Imaginatricks yang memenuhi ruang di Genting International Showroom.

Aksi mencabar

Ketua kumpulan akrobatik, The Gerlings dari Colombia yang dikenali sebagai Juan, berkata piramid manusia itu antara rekod dunia yang pernah tercipta dalam sejarah pertunjukan sarkas malah memenangi pingat gangsa pada Monte Carlo International Circus Festival pada 2017.

“Saya menyertai kumpulan akrobatik ini sejak tujuh atau lapan tahun lalu dan kami berlatih setiap hari untuk melakukan pelbagai aksi di atas kabel termasuk piramid manusia yang cukup mencabar.“

Ia sememangnya sangat mencabar dan ramai rakan yang tidak yakin sama ada kami boleh melakukannya tetapi terbukti kami sudah berjaya malam ini,” katanya.

Beliau mengakui paling mencabar mengenai pertunjukan malam itu adalah ia berbeza dengan pertunjukan di sarkas yang biasa dilakukannya.

Pertunjukan teater di atas pentas berbeza dengan sarkas dari segi kapasiti pentas dan ketinggian bumbung yang lebih rendah.

“Kerjasama antara semua ahli kumpulan amat penting untuk menjayakanpertunjukan yang sangat berbahaya ini kerana sedikit kesilapan boleh mengundang maut.

“Kami sedar perlu berdepan dengan pelbagai risiko tetapi rasa takut itu diatasi dengan kepercayaan rakan kerana masing-masing mempunyai kemahiran dan minat tersendiri,” katanya.

Selain piramid manusia, Juan dan kumpulannya juga turut mempamerkan persembahan roda besi atau ‘Wheel of Suspense’ yang cukup menakjubkan penonton.

Empat ahli berlari-lari di dalam empat roda yang berpusing laju dan sesekali mereka berlari ligat di atas luar roda seakan hamster.

Persembahan itu juga turut mendapat pingat emas pada Monte Carlo International Circus Festival dan Wujiao International Circus Festival pada 2017.

Aksi pasangan peluncur ais Russia, Aleksander Popov dan Elena Efaeva yang meluncur ais buatan menggunakan plastik di atas pentas.

Elena yang pernah mewakili Russia pada kejuaraan peringkat antarabangsa, mengakui meluncur di atas ais buatan itu agak mencabar.

“Selain saiznya yang lebih kecil berbanding ruang pertandingan yang lazimnya dua kali lebih besar, ia diperbuat daripada plastik.

“Kami cuba meluncur sebaik mungkin dan dengan pergerakan yang sama seperti berada di ais sebenar,” katanya.

Content BH

Sertai Teater

Popov berkata, mereka sudah dilatih meluncur ais sejak kecil iaitu ketika berusia antara tiga hingga empat tahun, turut mengakui pertunjukan di atas pentas teater itu lebih mencabar.

Penonton turut teruja menonton 18 pemain bola keranjang dari Hungary yang menjaringkan gol dengan aksi akrobatik.

Gaya bersahaja Felfoldi Tamas yang melambung lebih tiga bola turut menarik perhatian.

“Ini adalah satu-satunya versi bola keranjang di dunia yang beraksi di atas pentas teater. Saya menyertai pasukan bola keranjang Hungary dan pernah menyertai acara NBA dan FIBA sejak 15 tahun lalu.

“Menyertai pertunjukan teater sejak lapan tahun lalu dan berasa bangga dapat membuat pertunjukan di negara ini,” kata Felfoldi.

Debaran penonton hilang seketika dengan kemunculan pelawak dari Ukraine, Oleksii Krasnykh yang cukup mencuit hati.

Graduan dari Variety and Circus Academy of Ukraine, Kiev, ini pernah memenangi Grand Prix Festival Badut Comediada pada 2015 dan terkenal dengan bakat dalam pentomin dan meniru bunyi.

Imaginatricks adalah persembahan yang menggabungkan akrobatik terbaik dunia, pemain bola jaring, peluncur ais, pelawak, penyanyi dan penari dengan berlatar belakangkan musikal yang memukau, diterbitkan oleh Agosta Artist Co, arahan Abraham Kostanian.

Content BH2

Source: Berita Harian - Halina Mohd Noor





Facebook comments: